Kabar Kawan Lama

Setelah puluhan tahun terpisah,   pertemuan pertama  adalah satu episod hidup  yang mampu bertapak dan memahat  dalam ingatan untuk satu tempoh yang agak lama. Saya kata begitu sebab  cerita  yang dikongsi pada  kebiasaannya  adalah jalan cerita lampau  yang  menjadi gambaran  jelas kepada  kehidupan  masa kini. Penceritaan tentang perjalanan hidup  itu yang mahal. Mahal, kerana ada babak-babak  tertentu yang mampu  membuat  kita berfikir  malah menjentik naluri kita untuk insaf dan  bermuhasabah diri.

Pada pertemuan itu jugalah, kita kebiasaannya akan  memanfaatkan keadaan untuk   merenung setiap garis kedut wajah kawan yang sedang terhidang. Dulu semasa muda, wajah itu putih, bersih  dan  halus mulus. Kini kulit yang halus mulus itu mula dinodai dengan bintik hitam tanda organ hati  tidak lagi berfungsi  sebaik  dahulu. Dulunya rambut hitam lebat lurus mengurai. Kini, rambut yang lebat hitam itu juga berubah menjadi putih, kelabu dan  sehelai dua saja helaian hitam yang  masih kelihatan.   Dulu cergas dan bergaya, kini lesu tidak bermaya, berdiri juga tidak setegak dulu. Dulu riang, penuh semangat dan berkeyakinan. Kini,  yang kedengaran hanyalah keluh kesah  tidak berpenghujung yang ada ketikanya kita enggan untuk mendengar. Pendek kata, pada pertemuan itulah kesempatan terbaik untuk  merenungnya kembali dan mengimbas  segala kenangan.  Jika cerita mengena, 24 jam sehari tidak cukup untuk ‘refresh’ dan ‘replay’.

Ada cerita  gembira, ada cerita sedih, ada cerita lucu dan tidak kurang juga perkabaran malang  yang membuat kita rasa bersyukur kerana kita mungkin belum diuji sehebat itu.  Berita apa sekalipun, iyaa..masa akan terus datang dan pergi. Hari ini cerita tentang dia, esok cerita tentang siapa pula tapi yang pastinya cerita tentang semua orang pasti akan tiba.

Bila bertemu kawan lama, kita akan mula bertanyakan kabar rakan-rakan yang lain. “ Si polan itu  sudah jadi arwah”. Innalillahiwainnailaihiroji’un. Mudah-mudahan dia ditempatkan dikalangan orang-orang yang  beriman. Sekilas  wajah arwah itu terbayang. Wajah dan karakternya mengisi ruang kenangan seketika. Seorang yang agak lucu, baik dan amat pemurah. Sedih  tapi kemudian hati berkata, esok belum pasti  untuk siapa.

1hb Ogos 2015, pertemuan singkat dengan sahabat lama  berlaku tanpa dirancang. Orang bilang ‘terserempak’ ketika saya dan suami ke sebuah restoran untuk makan  tengahari.   Dalam satu tempoh yang tidak terlalu lama, saya boleh kata dia adalah ‘partner in crime’ masa sekolah.  Sempat juga menginap dan makan minum  dirumah besar keluarganya.  Selepas  berkahwin, hubungan kami terputus.

Itulah pertemuan pertama kami selepas menamatkan persekolahan. Sekalipun ramahnya masih seperti dulu tetapi susuk tubuh yang agak kurus dan raut wajah yang agak redup cukup untuk menggambarkan dia berada dalam keadaan yang kurang baik. Dia begitu bersungguh-sungguh  meminta sedikit masa untuk berbual. Tentu sekali saya begitu senang kerana saya juga ingin tanya banyak perkara tentang dia. Tentang kehidupan, tentang anak-anak, tentang karier, tentang segalanya kerana semasa sekolah, kami juga berkongsi hampir semua rahsia peribadi.

Memulakan cerita dia kata  “ Saya kurang sehat. Saya sakit sejak  enam bulan  lepas.  Berat badan saya susut  7 kg. Saya tidak punya sesiapa untuk bersandar kerana suami saya  sudah meninggal tahun lepas.  Inipun baru balik dari hospital. Balik rumah kena jaga cucu lagi.  Hidup saya sangat sengsara. Tolonglah saya. Saya mahu lihat cucu saya membesar” Itulah luahan kawan. Kasihan sungguh.  Mendengar perkabaran itu membuat mulut saya ternganga seketika. Saya tenung wajahnya yang agak lesu.  Innalillahiwainnailaihiroji’un. Siouu..itulah perkataan yang terucap secara spontan tapi hampir tidak kedengaran. Perkabaran itu agak mengejutkan. Arwah masih  muda. Baru berusia 52 tahun,  dan seorang yang sangat aktif bersukan

Tanpa sedikitpun berlengah, ubat-ubatan , Salinan filem  x-ray, MRI, semua di keluarkan daripada beg sandang warna merah jambu.  Ubat itu saya belek satu persatu seperti seorang yang mahir sangat tentang ubat.  Saya tidak tahu bagaimana caranya untuk menunjukkan keprihatinan saya. Mata saya tertumpu kepada sejenis ubat penahan sakit ‘cerebrex’.  Penahan sakit itu  memberi kelegaan pada waktu yang singkat tetapi mendatangkan banyak kemudaratan dalam jangka waktu yang panjang.  Hiba hati melihatkan keadaannya. Ubat dari Hospital Kerajaan, klinik swasta, ubat dari Pakar Telinga, Pakar Tulang dan Saraf dan  pelbagai jenis vitamin. Puluhan jenis ubat itu cukup menggambarkan  keadaan hidup yang malang, sedih, tertekan, keseorangan dan amat kucar kacir. Dia ingin segera sembuh tetapi dia tidak ada kesabaran untuk menunggu dalam berusaha.

Keadaan sebegini, saya  andaikan sebagai penghujung usia yang menyedihkan.  Ketika suami masih hidup, ada juga yang membantu dikala sakit pening.  Memberi  kekuatan ketika berjuang menahan sakit. Menyuap makanan ketika badan lemah tidak bermaya dan tidak terkecuali juga tempat mengadu ketika berhadapan dengan  konflik dalam bermasyarakat  tetapi  kini segalanya terpaksa dihadapi sendirian.

Keadaan itu, ada ketikanya membuat kita  berfikir, apakah perasaan sebenar dia dalam menghadapi segala kedukaan itu tanpa suami disisi. Dia, kawan yang membina hidup bersama dan tua bersama telah tiada. Satu keadaan,  dimana jika ada pilihan,  sedikitpun tidak ingin  kita bayangkan tetapi perancangan Allah itu  benar.  Harta, jasad, suami atau isteri, anak-anak, ilmu, semuanya adalah milik Allah. Bila tiba ke penamat perjalanan, maka hilanglah ia untuk selamanya.

Untuk sahabat lamaku yang sedang derita,  bersabarlah. Redho dengan ketentuan Allah itu lebih baik . Mulalah. Beri perhatian yang khusus untuk diri sendiri.  Makanlah apa yang boleh dimakan. Melanconglah  jika itu yang boleh membuat kamu sehat, gembira dan bahagia.  Biarkan anak-anak mengurus anak-anak mereka. Masa untuk kamu telah berlalu. Kamu tidak bertenaga lagi untuk menahan pohon yang rendang. Tubuh kamu perlukan rehat.    Rehatlah dan bertenanglah untuk melalui masa berbaki yang semakin singkat…

«
»