Andai ibu itu susah dimengerti..

DSC01965

Potret ini diambil sempena Hari Raya Aidilfitri tahun 2010. Kami bergambar    di halaman rumah ayah dan beberapa tempat di sekitar kampung. Kami pandu kerita  dari satu tempat kesatu tempat yang lain semata-mata untuk abadikan kenangan sempena hari  lebaran.

Bila tengok gambar lama, perisitiwa yang berlaku pada masa itu mula mengisi kotak kenangan  dan ada ketikanya buat saya tersenyum-senyum sendirian.  Suasana  ceria jelas terpampang diwajah kami sekeluarga. Waktu ini, tidakpun terbayang apa yang akan berlaku 5 tahun kemudian.

Tidak pernah terlintas dalam ingatan bahawa suatu masa kelak,  anak-anak akan pergi jauh. Sengaja tidak mahu fikirkan sebenarnya,  kerana jauh disudut hati, saya mahu mereka sentiasa dekat, senang untuk saya berziarah.

Selama sekian tahun,  kami  meraikan setiap detik waktu yang datang sebagai sebuah keluarga yang saling menyokong dan membantu. Sekian lama, kami melakukan banyak perkara bersama.

DSCN3101

Namun, dalam melalui kebersamaan itu,  ada juga ketikanya kami melalui saat-saat yang kurang baik, kami berselisih faham, bertengkar dan tidak bercakap sehingga berhari-hari lamanya. Nak buat macam mana?  Allah kurniakan kami dengan kepelbagaian karektor yang ada ketikanya  membuat kami  bertindak berbeza.

Keadaan ini sudah tentu membuat kami masing-masing terluka,  tetapi orang kata air yang dicincang tak kan putus. Sampai waktunya, kami  ketepikan perselisihan dan menyusun langkah kekeluargaan bagi meneruskan  semula kehidupan.

DSC05388

Tidak saya nafikan, sebagai ibu, ada ketikanya saya benar-benar terluka. Mungkin benar orang kata, bila usia semakin meningkat banyak perkara berubah. Fizikal berubah, tenaga melemah, otak semakin malas berfikir dan hati semakin mudah tersentuh.

Bukan kerana fitrahnya orang tua itu  begitu  sikapnya tetapi  mungkin kerana  mereka yang sudah berusia itu sedar  bahawa masa untuknya bersama dengan ahli keluarga sudah semakin singkat. Dia ingin memberi sebanyak mungkin tetapi pada masa yang sama  mengharapkan anak-anak menyambutnya dengan penuh keinsafan. Jika semuanya baik,  ibu itu tentu  boleh senyum dalam tenang. Ibu tentu ada kebahagiaan dihujung usia..

DSC01972

Walau disanggah dan walau hati terluka , seorang ibu itu akan berdiam diri dan menelan segala kelukaan. Mengingatkan  diri sendiri supaya lebih tabah dan mengambil tanggungjawab peribadi untuk menjaga hati dan perasaan sendiri itu lebih baik kerana Ibu itu ada tanggungjawab untuk diurus dipenghujung usia. Ibu itu perlu tenang, mengambil setiap peluang untuk perbaiki diri dan  mengingati Allah.

 Demikianlah kudrat dan kekuatan yang Allah kurniakan kepada seorang ibu. Ibu itu tetap seorang ibu,  ibu yang sentiasa memaafkan. Tidak pernah menyimpan walau sekelumitpun rasa dendam kerana ibu itu tahu, mereka yang bergelar anak itu akhirnya  akan menjadi ibu dan anak lelaki bakal   bergelar bapa. Mereka akan ada peluang untuk memahami  kerana mereka juga akhirnya akan bertingkah sebagaimana tingkahnya seorang ibu atau bapa yang selama ini membesarkan mereka. Inn Shaa Allah.

20130428_135418

Bagi sebahagian anak, ibu itu mungkin agak merimaskan. Ibu-ibu itu kebiasaannya suka  berpesan. Seringkali memikirkan perkara yang buruk-buruk  kerana itulah yang sering di sebut oleh orang tua mereka. Biarpun anak sudah menjadi ayah atau ibu, biarpun anak itu berpelajaran tinggi, biarpun anak itu ada pandangan sendiri tentang hidup, ibu itu tidak melihat mereka sebagai orang yang serba cukup. Dalam keadaan perlu, ibu akan sentiasa memberi nasihat. Peranan ibu itu tidak pernah berakhir selagi hayat seorang ibu itu masih ada.

20130428_144149

Sikap ‘protective’ ibu itu adalah fitrah seorang ibu. Namun,  itu tidak bermakna ibu itu mengharap anak-anak  tinggal bersama mereka sepanjang hayat. Harapan terakhir seorang ibu adalah untuk melihat anak membina sebuah keluarga, mengurus keluarga sendiri dan membesarkan anak-anak dengan cemerlang.

Hati seorang ibu, sentiasa sarat dengan doa. ‘Mudah-mudahan anak-anakku berjaya dunia akhirat”, “Mudah-mudahan Allah permudahkan segalanya untuk mereka”. Mudah-mudahan Allah beri mereka petunjuk dan melakukan perubahan dan pengubahasuaian hidup”. Walau tidak dilafazkan dihadapan mereka, tetapi doa itu sentiasa bersama mereka setiap detik dan ketika.

Sebagaimana ibu oranglain, begitu juga saya.  Saya sentiasa mendoakan keberhasilan untuk setiap perkara baik yang mereka  lakukan. Tentu tidak semuanya bakal berlangsung  sempurna. Kadang  berhasil tetapi dalam banyak  keadaan, hasilnya sungguh menguji semangat dan ketahanan.

DSC02014

Apapun hasilnya, saya selalu berkata, bersabarlah dan jangan terlalu  risau. Akan ada masanya untuk sesuatu itu berhasil. Yang paling penting adalah usaha yang berterusan.

Ibu itu  tidak meminta  anak-anak mereka menjadi terlalu sempurna kerana ibu itu juga tentu  tidak pernah sempurna. Ibu itu juga  banyak  kekurangan, ibu itu juga mungkin banyak melakukan   kesilapan,  banyak keluhan,  banyak kelekaan, banyak kedukaan,  kegagalan yang berderet-derat  tetapi ibu selalu berkata, jangan putus asa sebab itulah petanda Allah masih sayangkan kita. Allah sentiasa menguji kita pada tahap yang boleh kita tanggung.

DSC02042

Ibu-ibu juga sering berkata,  jangan  susuli kegagalan itu dengan rasa keciwa dan patah semangat. Selagi Allah beri kesihatan, usahalah sebanyak mungkin.  Yang paling utama  adalah apa yang kamu rancang sekarang untuk esok, apa yang kamu rancang sekarang  supaya kamu lebih sehat, apa yang kamu rancang sekarang supaya kamu bahagia, apa yang kamu rancang sekarang supaya anak-anak kamu membesar dalam ruang lingkup yang positif, apa yang kamu rancang sekarang supaya pasangan kamu bahagia bersama kamu, apa yang kamu rancang sekarang supaya kamu punya sebuah kehidupan yang bermakna.

20121212_124726

Berpisah  dengan anak-anak sebenarnya adalah satu episod  yang menyedihkan. Tanyalah mana ibu sekalipun,  biar ibu seganas mana sekalipun, perpisahan itu memberi kesan yang amat mendalam kepada mereka. Namun, dalam kesedihan itu, tetap ada ruang istimewa  untuk mereka mengecapi sekelumit rasa gembira, bahagia dan  bersyukur kerana akhirnya mereka telah melangsaikan tanggungjawab terakhir sebagai seorang ibu dan jika ditakdirkan  masa untuknya pergi telah tiba,  mereka akan pergi dengan tenang.

DSC02045

Kadang kemarahan ibu itu sukar untuk difahami. Ibu marah kerana kasih sayang yang teramat dalam, ibu marah kerana keciwa anak tidak bersungguh untuk mencapai yang terbaik untuk diri  sendiri, kadang ibu marah kerana ibu kasihan melihat kegagalan demi kegagalan yang  terpaksa mereka tempuhi, ibu marah kerana banyak sebab yang sebenarnya berpunca dari hanya satu harapan iaitu ibu inginkan yang terbaik untuk anak-anak. Semua itu akan terus menjadi misteri dan sukar difahami oleh anak-anak sehinggalah mereka sendiri bergelar ibu atau ayah.

Jika ruang ini mampu mendengar, saya ingin menyatakan betapa kasih sayang seorang ibu terhadap anak-anak itu  tidak pernah berakhir.  Ibu itu  ingin melihat  anak-anak  membina kehidupan, supaya anak-anak itu membina diri sebagai pemimpin, lalui pasang surut kehidupan, bina kekebalan untuk menuju saat kematangan.  Andai ditakdirkan, anak-anak  perlukan ibu untuk menangis, percayalah, ibu itu, dimanapun ibu-ibu itu berada, bahu mereka sentiasa tersedia untuk mereka menyandarkan kesedihan sekalipun bahu itu mungkin tidak lagi segagah dulu.

Percayalah, ibu itu adalah kawan sejati yang akan sentiasa bersedia, sentiasa terbuka, sentiasa berkorban dan akan sentiasa memahami..

Leave a Reply