Tentang saya..

IMG_0075Anda mungkin mengenali  saya tetapi anda tentu tidak tahu apa yang telah saya lalui.  Jadi siapa saya, tidak harus menjadi persoalan pokok. Yang lebih utama adalah titik pertemuan yang mampu kita ujudkan bersama demi untuk pembinaan masa depan yang lebih baik.

Saya juga tidak akan menilai jika anda lupa tentang saya sebab kebanyakan manusia itu sememangnya pelupa. Cuma mungkin, jika perkara itu berlaku,  anda perlu pertimbangkan saranan saya secara serius untuk anda menjalani pemeriksaan tahap deria anda kerana  pelupa adalah satu petanda anda kini semakin dimamah usia dan perlukan  pembaharuan sel-sel baru.

Sejujurnya saya tidak ada perkara gah yang boleh saya hamparkan sebagai teladan. Saya dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan dan bergelut dengan pembinaan hidup sejak kecil. Saya juga tidak berpeluang ke menara gading. Bukan kerana saya tidak ada kebijaksanaan seperti orang lain tetapi kesempitan hidup tidak memberi saya banyak ruang  untuk menunjukkan daya intelek saya pada zaman itu.

SONY DSCInilah rumah dimana saya tinggal sejak berumur 13 tahun sehinggalah saya mendirikan rumahtangga. Saya dinikahkan di pondok usang ini pada tahun 1981. Satu-satunya rumah kecil yang didiami secara tetap di tengah-tengah  hamparan sawah padi di sebuah perkampungan yang dikenali  Kg. Lompoyou Ranau. Pondok usang ini agak jauh dari jalan raya utama. Mampu memberi  tekanan  terutama sekali pada  musim tengkujoh. Tengkujoh tidak pernah faham jika musim hujan itu adalah mala petaka bagi saya kerana saya terpaksa melalui  batas-batas bendang yang agak goyah seperti juga hati sebahagian  manusia yang sentiasa berubah-ubah mengikut keutamaan dan pilihan. Tengkujoh, bendang dan batas bendang  adalah sekawanan hukum alam yang kadang bertindak rakus dan  memaksa saya untuk menyenseng kain finapo  hingga ke paras pinggang .

Saya kini berumur 50 tahun. SONY DSCSungguh tak terasa masa berlalu. Tapak setiap langkah di persekitaran sekolah dan batas bendang seperti masih kelihatan. Memori pandangan maut Mr. John Martis dengan mata biru yang hampir tersembul dek menahan kesabaran kerana kelembapan saya memahami subjek  fizik dan kimia juga masih segar dalam ingatan. Sekali dihitung, rupanya zaman persekolahan telah 33 tahun saya tinggalkan. Hasilnya, saya kini telahpun  menjangkau  usia emas.

Kenapa blog ini saya ujudkan? kerana saya kaya dengan cerita untuk dikongsi. Cerita tentang kesungguhan, kesabaran, kasih sayang, kesakitan, kepedihan, kehilangan, kejayaan, kecemerlangan, kesihatan, kebugaran , kerja keras, tentang diri sendiri, kenapa saya, bagaimana, dimana dan apa sahaja yang termampu kita kongsi bersama. Yang paling penting sekali untuk kita fahami, apa sahaja yang kita bincangkan dalam blog ini adalah bertujuan semata-mata untuk membolehkan kita bersama   mengukuhkan pembinaan hidup, bersama menjadi yang terbaik setiap hari,  mudah-mudahan melalui  apa yang kita hajatkan akan  menjadi pendorong untuk kita menghargai setiap insan yang hadir kerana mereka yang hadir itu adalah takdir yang Allah telah janjikan. Mereka bukan hadir secara kebetulan, sebaliknya kehadiran mereka adalah untuk membolehkan kita melihat sesuatu, mereka adalah sebahagian daripada insan yang membentuk hidup kita pada  hari ini dan esok yang bakal hadir.

Akhir sekali, panggillah saya Jasmin. Gambar teratas adalah gambar saya ketika berumur 15 tahun lebih. Masa tu, saya baru tingkatan 3. Saiz badan agak nipis, rambut belah tengah  dengan jerawat batu  bertompok-tompok dimuka  bak cendawan tumbuh  subur merata. Kalau tak silap saya,  satu-satunya harta yang saya ada pada masa tu adalah jam tangan seiko yang dihadiahkan oleh abang. DSCN1905.jpgDia beli dengan harga Rm150.00. Nilai RM150.00 pada masa tu sangat  tinggi. Apa lagi bagi seorang anak muda yang baru mendapat pekerjaan. Jam ini istimewa kerana penunjuk masa kelihatan lebih jelas dalam  gelap. “Waterproof” pula tu.  Kini segalanya dah berlalu lama. Yang tinggal hanyalah kenangan yang  tersimpan kemas dalam lipatan sejarah. Untuk kesekian kalinya, marilah kita bersama menghargai setiap detik yang hadir,  sekalipun cerita yang dihamparkan bukan sesuatu yang kita inginkan  untuk berlaku dalam kehidupan. Mudah-mudahan  kepasrahan itu menjadikan kita  insan yang  lebih baik dari hari-hari semalam dan sentiasa ceria menanti esok yang datang menjemput.

ADIOS..moga saya dan anda akan menjadi sahabat  baik dan saling menghormati baik dalam tutur bicara  mahupun  penulisan di alam maya.

Leave a Reply

«
»