Selamat Berangkat Moyonn..

Wajah comel ini telahpun berangkat. Selamat  membesar di perantauan Moyon.   

MOYON 01Kepergian kamu telah tinggalkan  satu ruang kosong dalam kehidupan kami.  Kadangkala rindu sangat  dengan telatah kamu. Moyon Komoyonnnn..sesekali nama unik  kamu  meniti di bibir. Saya sangat mengharapkan  kamu  sedang tidur lena dalam gendongan, memberi saya ruang untuk mencium pipi kamu yang halus mulus dan harum semerbak  itu . Sayang sekali, kamu terlalu jauh.

Walau apapun, saya dan aki sewajarn ya bersyukur kerana kami sempat berkongsi kecanggihan   teknologi terkini dengan kamu. Walau dari jarak yang jauh, aktiviti harian kamu masih boleh kami saksikan melalui gambar dan video yang ibubapa kamu ‘uplod’ melalui ‘WhatsApp’.

BLOG 2014.18  

Syukur Alhamdulillah diatas kurniaan Allah. Kami  bersyukur kerana ibubapa kamu punya sebuah kehidupan dan punya kamu. Kehidupan yang memberi mereka setiap ruang untuk belajar dan memperbaiki diri. Menikmati segala kurniaan Allah dan bersyukur diatas segala ujian yang Allah beri.  Bersyukur ketika bahagia malah lebih bersyukur ketika  Allah sedang menguji. Mudah-mudahan mereka dapat terus perteguhkan iman dan kesabaran dalam menempuhi apa sahaja ujian hidup. Demikianlah  proses kematangan itu berlaku. Inn Shaa Allah, yang maha kuasa akan sentiasa melihat dan mendengar. 

GK27

Penghijrahan  ibubapa kamu  bersama kamu adalah satu petanda kepada sebuah kehidupan yang lebih baik. Sekalipun, ada ketikanya, penghijrahan itu kadang bersifat aneh. Aneh kerana keterujaan dalam berhijrah itu juga  akan membuat kita  sayu dan bersedih.  Teruja kerana penghijrahan itu bermakna sebuah kehidupan baru dalam   ruang lingkup dan suasana yang amat berbeza bakal dibina  tetapi meninggalkan ahli keluarga, kawan-kawan dan kenangan masa lalu yang entah bila lagi akan kita jejaki akan menguji emosi dan ketabahan.

Saya yakin tentang itu. Saya juga dulunya ditakdirkan terpaksa berhijrah. Kekuatan hijrah saya hadir  bila saya membayangi sebuah kehidupan yang lebih baik, lebih tenang dan lebih membahagiakan. Penghijrahan itu sebaiknya sesuatu yang meyakinkan. Ianya memerlukan pengorbanan dan pengorbanan itu sangat  mahal. 

Wajah ibu saya  yang sayu  melihat kami pergi  membuatkan airmata jatuh tak mampu dibendung.  Dia  risau jika saya berhadapan dengan masalah lagi dan saya akan gagal membesarkan anak-anak. Saya juga sebenarnya risau tetapi  keberanian itu hadir kerana kehendak hijrah yang kental. Saya pasrah dengan apa sahaja ujian dan berserah kepada kasih sayang Allah. Saya yakin Allah melihat segala-galanya dan Allah akan sentiasa melindungi kami.

Wajah Ibu yang terpaku di tangga rumah, menyaksikan  kami berangkat masih segar dalam ingatan.  Saya faham, saya tau, saya merasa betapa kasih seorang ibu itu tiada tolak bandingnya. Terimakasih ibu  kerana sentiasa bersama dalam jatuh bangun kehidupan saya. Wajah ibu yang tenang dan  menyejukkan itu telah pergi, melengkapkan perjalanan sebuah kehidupan.  Alfatihah..Semoga ibu di tempatkan dikalangan orang-orang yang  beriman.

Walau di perantauan, saya berharap kamu membesar dalam  ruang lingkup keimanan.  Membesar sebagai seorang anak yang terdidik, menghormati ibu bapa dan taat kepada perintah Allah. Inn Shaa Allah,  kamu akan sentiasa berada dalam lindungannya.

Akhir sekali, moga kamu tidak lupa pada pokok dan bunga-bungaan disebalik tingkap dimana kamu suka bersandar..Tidak lupa pada gaga, kuyop, panter. Tidak lupa kepada burung merpati yang  sering kamu perhati waktu petang bersama Aki.

moyon-aki-36Disini, saya titipkan gambar kamu bersama moyang aki.  Jika kamu tidak berkesempatan mengenalnya,  saya ingin katakan bahawa dia adalah seorang lelaki hebat dalam dunianya yang tersendiri. Mudah-mudahan dia panjang umur dan berpeluang melihat kamu membesar.

Hino ko po kio..