Duhai Jiwa, Jangan Celaru

Kadang kita dengar orang mengeluh. Jiwaku begitu kosong! Ada waktunya   jiwaku juga  celaru! kecamuk! dan tertekan! Ish..ishh..ishhh..konflik sungguh jiwa itu yang sesenangnya bertebaran tanpa sempadan! Tetapi itulah antara kebenaran  jiwa-jiwa manusia. Jika ianya terus dibiar bebas menguasai diri,  sudah tentu akan berterusan mempengaruhi dan  menguasai tindakan .

jiwa.2 Permasalahan itu biasa. Cabaran dalam memperjuangkan hidup itu juga lumrah tetapi jika  maksud cabaran dalam perjuangan itu tidak dihayati dengan jelas, kita akan membiarkan diri hanyut dalam kekalutan dan kekeciwaan yang berpanjangan. Itulah punca utama kegagalan.  Mereka-mereka yang positif. Mereka yang  kuat iman, mereka yang redha dengan ketentuan. Mereka yang percaya kepada qada dan qadar Allah. Mereka-mereka ini,  lebih tenang dan bersahaja dalam menghadapi segala dugaan.  Bertuah mereka. Mudah-mudahan kita juga sama.

Janganlah dibiar  jiwa-jiwa itu bertebaran tanpa kawalan. Kecelaruan itu amat bahaya  kerana jiwa  kosong itu melemahkan, jiwa kacau itu merosakkan, jiwa celaru itu memesongkan, jiwa kecamuk itu menyesatkan, jiwa tertekan itu memudaratkan. Semua itu  membawa  kepada tindakan-tindakan  negatif yang amat merugikan dan sudah pastinya mencalar masa depan.

BLOG JIA 5

Satu masa dahulu, jiwa saya juga pernah diuji. Terperangkap dalam suasana tegang yang amat membebankan. Batu  penghadang  begitu utuh terbina di setiap penjuru kehidupan.   Kemudian saya berkata pada diri, jika inilah bahagianku ya Allah. Saya redha tetapi kemana harus saya pergi?   Mungkin dengan hidup  bersendirian saya mampu peroleh ruang untuk benar-benar memahami segala kekalutan. Dengar suara hati. Suara hati dari dasar jiwa   paling dalam. Dengan menyepi, saya mungkin ketemu jalan keluar. Allah mungkin permudahkan  untuk saya  pecahkan tembok penghadang.   semua itu perlu difikir dan diusahakan. Rahsianya perlu di terokai.

BLOG JIWA 8

Setelah berminggu membiarkan diri hanyut dalam ketidaktentuan, saya akhirnya temui jawapan. Saya harus  membina benteng pemisah dengan keadaan. Saya perlu menguasai kebebasan jiwa untuk mengurus dan meneruskan kehidupan. Menyendiri dan hidup terasing itu tidak semestinya bersembunyi. Sebaliknya, bersendiri itu memberi ruang untuk saya  menilai pilihan. Kemandirian itu memberi saya ruang  mengumpul tenaga untuk  kembali berdiri. Kemudian saya bertindak. Meninggalkan persekitaran  yang caca marba. Persekitaran yang amat menghimpit emosi dan  fizikal. Persekitaran yang saya kira bahaya untuk masa depan. Persekitaran yang  mampu membawa saya rebah menyembah lantai. Bila-bila masa sahaja. Saya putuskan untuk mencari dan menghirup udara segar. Alunan nafas saya dengar  setiap malam sebelum tidur. saya hayati,  saya kira dan entah kiraan keberapa saya terlelap. Keesokan paginya saya bangun dengan semangat dan minda yang segar.

20140615_172040.deza

Pertama sekali, saya bersyukur kerana saya masih bernafas. Allah  masih izinkan saya untuk terus berjuang tetapi entah berapa banyak masa yang saya ada.  Saya tidak boleh leka. Saya mesti ujudkan ruang terbaik untuk tenangkan jiwa kerana itu adalah perkara termudah yang boleh saya lakukan pada saat itu. Kemudian,  perbaiki tindakan, tentukan pilihan, atur strategi, laksana langkah dan teruskan kehidupan. Akhirnya, saya berhijrah bersama anak-anak. Berhijrah tinggalkan kampung halaman, tinggalkan emak bapa, sanak saudara, tinggalkan kawan-kawan…tinggalkan kenangan.

20130811_141601

Saya berhijrah tempat dan  minda sekaligus. Dari titik itu, saya mula tersenyum, mula melihat dunia dengan penuh harapan. Saya mula ada kekuatan untuk mengumpul tenaga kembali.  Terimakasih  Allah  kerana telah memberi ujian yang sebegitu hebat untuk saya.  Ujian untuk menjadikan saya lebih matang.  Kekuatan yang saya peroleh melalui ujian itu adalah kasih sayang Allah yang maha agung. Ianya mendidik saya menghargai masa.  Kemandirian saya membentuk saya jadi seorang yang pemaaf .

Saya percaya setiap detik waktu yang datang itu patut di isi dengan kebaikan. Ia perlu dilakukan sekarang . Bukan nanti, atau menunggu masa yang  sesuai. Supaya perkara yang baik itu membimbing kita mencapai hasil terbaik. Pencapaian itu kelak akan menjadi pendorong kepada keluarga, dan rakan-rakan untuk melakukan perkara yang sama demi masa depan yang lebih baik.

Ada yang bertanya, iya kah begitu?? Ya Allah dik.  Masa depan itu rahsia Allah. Hanya dia yang tahu apa yang bakal berlaku. Saya juga tidak dapat menjamin kebaikan sekalipun kebaikan itu yang kita lakukan setiap hari tetapi sekurang-kurangnya kita telah mendahului waktu dengan melakukan  perkara yang betul . Tuntutan untuk melakukan kebaikan itu tidak punya batas waktu tetapi sebaiknya dilakukan sekarang kerana masa itu juga berlalu pantas. Kerana kepantasan waktu, sebaiknya kita andaikan bahawa  penamat itu mungkin saja akan berlaku esok. Mungkin sehari, seminggu, sebulan, setahun atau sepuloh tahun.  Apapun angkanya, dua puloh tahun  juga dikira  singkat dik. Cuba toleh kebelakang seketika. Jejak langkah 30 tahun lepas masih jelas kelihatan. Masa silam kita berada hanya  disebalik tibar.

BLOG JIWA 7

Baru tersedar,   betapa cepatnya masa berlalu. Kemudian penyesalan itupun datang menyusul. Kenapalah saya tidak buat itu dan ini pada masa itu. Kenapalah saya lakukan itu dan ini pada masa itu. Kalau  saya diberi peluang untuk hidup kali kedua, saya  pasti akan melakukan itu dan ini atau tidak mungkin akan saya ulangi kesilapan itu dan ini.  Cukuplah!! Tak perlu dikenang barang yang dah lepas. Masa lalu dah pergi. Realitinya  masa itu datang hanya sekali. Ianya ibarat busar anak panah. Sekali dilepaskan, ianya tak akan kembali. Apa lagi untuk ditangkap. Sesuatu yang mustahil untuk dihentikan melainkan dengan kuasa Allah.

Saya melihat orang-orang yang putus harapan untuk berusaha. Mereka berputus asa kerana mereka gagal mengharungi ujian Allah. Lalu mereka membina sarang ‘sang penakut’ didalam minda yang akhirnya menjadikan mereka sentiasa dibayangi ketakutan untuk mencuba  sekali lagi. Akhirnya, apa yang terjadi?  Merenung lantai siling sambil menangis dan mengasihani diri sendiri tanpa tindakan.

Suasana itu menyakitkan mata saya dik. Jangan biarkan diri terperangkap dalam situasi itu. Itu mungkin terjadi kerana mereka fikir, mereka tidak punya  sumber untuk bermula sekali lagi selepas gagal. Percayalah dik.  Sumber paling hampir dan termurah adalah dengan mengubah sikap berhadapan dengan masalah. Jangan biarkan kegusaran dan kekeliruan menguasai diri dan tindakan. Jangan jalan menunduk. Angkat muka dan  mendongaklah  ke langit. Kita perlu peroleh  kekuatan dan tenaga aura yang  positif untuk  mengharungi cabaran.

IMG_0654

Berkiblatlah kepada orang-orang yang bangun pagi dan bersikap positif kepada kehidupan. Orang-orang  yang tidak memusnahkan diri dengan mengambil benda-benda tidak berfaedah. Sudah tentu itu semua hak individu tetapi  kita sedang bercakap tentang nilai masa depan yang ingin kita corakkan. Walau masa berbaki untuk kita hanya sehari. Siapa tahu, sehari itu berubah jika tindakan-tindakan kita berubah.

Kita tidak perlu buang masa untuk  marah dan sakit berterusan. Membenci dan berdendam. Untuk apa? Kebencian yang melampau hanya menodai wajah anugerah Allah  yang sebegitu sempurna. Semua itu adalah pekerjaan syaitan yang berjaya bersarang dalam seketul hati untuk terus membusuk.  Allah hidupkan setiap  manusia itu dengan keunikan. Terimalah keunikan itu  dan belajarlah menilai kekurangan sendiri  sebagai anugerah Allah untuk diri sendiri perbaiki.

Sesungguhnya saya juga masih berusaha memperbaiki diri. Mudah-mudahan kita semua terus diberkati. Tulisan ini juga satu kelegaan untuk saya. Akhirnya saya berkesempatan setelah berbulan  lamanya blog menyepi.  Mudah-mudahan apa yang saya kongsikan dapat memberi sedikit panduan kepada  mereka yang sedang bergelut dengan kekalutan jiwa.

20141103_204423