Inginku khabarkan..

13 November 1995, dan beberapa bulan berikutnya adalah hari-hari yang suram untuk saya.  Kesedihan  membuat saya hilang keseimbangan buat seketika. Saya terpaksa menelan  sejenis ubat ‘losic’  untuk merawat luka dalaman  yang agak kronik.

Pemergian kamu secara tiba-tiba  amat sukar untuk saya terima. Kamu pergi tanpa sebarang petanda yang kamu akan pergi. Jam 8 pagi,  pada hari kejadian kamu menghubungi saya. Suara kamu seperti biasa. Sentiasa bertenaga, patuh dan penuh tanggungjawab. “ Sekejap lagi kami akan bertolak Umi” Kata-kata terakhir kamu sempat memberi saya sedikit kelegaan.

Dalam hati saya panjatkan kesyukuran .  Kata-kata kamu, tindak tanduk kamu membuat saya rasa bertuah.  Kamu begitu memahami dan  sentiasa bersikap positif  ketika mendepani kesukaran. Kamu sentiasa tahu dimana bermulanya kehidupan dalam keadaan serba-serbinya kurang. Positif dengan segala kekurangan. Bukan sahaja kekurangan diri sendiri tetapi  tentang ketidakmampuan saya menyediakan kamu kehidupan yang sempurna.   Kamu  amat memahami  bebanan yang saya tanggung.

Ketika saya tiba di Hospital, saya gagahi langkah untuk sampai dipenjuru wad dimana kamu sedang terbaring kaku.  Pakcik kamu memapah saya perlahan. Saya terlalu lemah.  Saya tenung wajah kamu . Saya senyum mengharapkan kamu kembali  senyum  tetapi kamu kaku. Airmata saya berguguran menyembah lantai. Saya usap kepala kamu, saya  kucup dahi kamu. Saya peluk badan kamu  dengan erat. Hangat badan kamu masih terasa  . Bermakna,   roh  kamu belum lama terpisah.

Saya  cari luka mana yang menyebabkan kamu tidak mampu bertahan .Tidak ada luka besar,  melainkan luka kecil dengan 3 jahitan   dibahagian tulang pipi  kamu.  Kalau begitu,  kenapa kamu  tidak mampu bertahan Nak?  Kenapa ??

Hari-hari mendatang selepas ketiadaan kamu amat perih untuk saya. Saya bersedih. Saya membiarkan diri  meratapi masa depan yang tidak sempat kita cipta bersama.  Saya berterusan mempersoalkan diri sendiri, kenapa saya minta kamu melakukan semua itu. Meminta kamu   mengingati dia, berjumpa dengan dia semata-mata untuk membuktikan bahawa kamu anak terdidik yang tidak pernah lupa kepada ibubapa.

Alangkah baiknya jika saya biarkan kamu terus terpisah. Alangkah baiknya kalau saya tidak  berkata apa-apa. Alangkah baiknya jika kampung itu kamu padamkan terus dari kamus hidup kamu?  Alangkah baiknya jika  kamu menghabiskan cuti hujung tahun di flat sewa kita…alangkah baiknya ……

Saya mendesak  diri sendiri untuk memberikan jawapan.   Kenapa dia? Walhal, dia telah bersedia  membina masa depan  yang lebih baik. Di saat-saat genting  seperti itu, saya amat perlukan kawan. Saya perlukan kawan untuk mendengar. Saya perlukan bahu untuk menangis. Saya perlukan sesiapa sahaja untuk  menenangkan saya.

Mata saya beralih pada semua orang yang hadir,  saya  menanti mereka berkata” Kamu sedang bermimpi! Saya mengharapkan kata-kata sedemikian. Ya allah, katakanlah bahawa saya sedang bermimpi.  Pipi saya ? Airmata  sedang jatuh bercucuran.  Saya sedang menangis, wajah-wajah disekeliling saya juga sayu. Adik kamu juga  menangis. Nun di sudut kanan,  saya dengar suara mencelah .  Bersabarlah J . Kita semua akan pergi.   Allah lebih sayangkan dia. Saya tidak memandang dari mana suara itu datang tetapi saya tahu dia memahami apa yang  sedang saya lalui. Wajah  kamu yang tenang itu, tentu sekali  sedang merintis jalan ke alam barzakh.  

” Sekejap lagi, kita akan bertolak ya” Seorang jururawat separuh umur datang mencelah sambil mengalihkan tong oksigen di tepi katil kamu. Wajah selamba seperti tidak ada perkara yang berlaku. Kematian berlaku setiap hari dan tentu sekali mereka telah begitu lali dengan suasana sebegini. Saya angguk  tanpa berkata apa-apa. Saya tatap lagi wajah kamu.  Saya terkenang saat-saat dimana kita berbual tentang impian dan masa depan. Ingat tidak??sewaktu kita bercakap tentang manuskrip saya yang masih tersimpan.  ‘MENGGAPAI IMPIAN”. Kamu kata, kamu akan berjaya sebab itu yang kamu mahukan.   Nyatanya, semua   itu tidak menjadi kenyataan . Ianya  adalah kehendak Allah anakku.

Tentu sekali saya sedih kerana  kamu  tidak sempat mencapai segala impian kamu  tetapi bukankah kehidupan ini hanya sebuah perjalanan? Kematian itu juga adalah sebuah perjalanan . Perjalanan pasti  ke alam lain yang kekal. Yang membezakan hanyalah siapa yang mendahului dan  siapa yang datang menyusul. Beberapa tahun selepas kamu pergi,  nenek juga pergi. Yang lain juga akan pergi. Saya  juga akan pergi kerana mati itu pasti. Itu janji Allah. Bila dan bagaimana kematian itu datang menjemput, tentu sekali  menjadi rahsia Allah.

Sesungguhnya, tempoh 14 tahun lebih bersama kamu  adalah satu rahmat yang  Allah pinjamkan untuk saya. Kelahiran kamu menjadikan saya lengkap sebagai seorang wanita. Melahirkan dan membesarkan kamu adalah satu nikmat, sekalipun dalam keadaan yang serba kekurangan.

Ketika kamu di rampas secara rakus dari gendongan saya, kamu menangis meronta-ronta minta diambil.  Saya sangat tertekan dengan suasana itu tetapi saya tidak mahu kamu rasa sedih. Sebaliknya saya beri kamu harapan. ” Jangan nangis nak. Umi akan datang”  . Kemudian kamu hilang dari pandangan.

IWAN 8

Saya tahu,  kamu  juga derita tetapi itulah hamparan kehidupan yang termampu saya sediakan  pada masa itu.  Saya berusaha sedaya upaya untuk membuat kamu gembira  tetapi  saya tidak berdaya.  Banyak  halangan dan kekangan.  Saya tidak mampu membuat keputusan. Saya terkeliru antara keutamaan  untuk mencari  ketenangan  dan   keperluan untuk terus memperbaiki kehidupan yang serba kurang.  Saya rasa terlalu berat. Mungkin saya tidak cukup bijak untuk menentukan pilihan yang tepat mengikut keadaan. Mungkin saya terlalu lemah tetapi  semua itu, saya anggap sebagai ketentuan Illahi.  Tentu ada hikmah disebalik setiap kejadian. Akhirnya,  keadaan itu membentuk bongkah-bongkah besar . Membebani bahu kiri dan kanan saya. Bebanan yang hanya menunggu  masa untuk memusnahkan saya.

Semasa kamu masih di Asrama Penuh.  Ingat tidak? Saya  melawat kamu  setiap minggu. Saya datang untuk melayan kamu  makan soto jawa di kantin asrama.  Saya masih ingat betapa gembiranya kamu melihat kehadiran saya. Lalu  kamu berlari anak  mencari adik kamu diasrama putri.  Waktu itu  telefon bimbitpun kita tidak ada Iwan.

Soto jawa itu tidaklah sesedap mana. Sup yang agak tawar bersesuaian dengan harganya seringgit setengah untuk  mangkuk kecil  tetapi makan bersama kamu sesuatu yang sangat istimewa. Setelah sekian kali saya berkunjung, saya sudah boleh membaca apa yang akan kamu katakan.

Kadang saya sengaja tidak menghabiskan soto untuk melihat apa reaksi kamu. Tekaan saya memang  tepat. Kamu akan kata” Umi, jangan buang  ! Bagi kawan saya, dia juga anak orang susah. Jarang dia makan soto” . Saya  berusaha sedaya upaya untuk menyembunyikan airmata daripada jatuh berguguran. Betapa mulianya hati kecil kamu Iwan. Kamu bergegas lagi mencari  dia. Tidak lama kemudian, kamu datang bersama seorang budak lelaki yang lebih kecil berbanding kamu . Dia datang teragak-agak tetapi kamu beriya-iya menyuruh dia duduk.  Saya  ‘order’   semangkuk soto jawa untuknya.

Dia tersenyum  lebar dengan sinar mata kesyukuran.  Kawan kamu kata” terimakasih makcik”.  Saya senyum. Kamu berdua bertukar senyum.

Entah apa yang kamu berdua fikirkan pada masa itu. Saya  tidak faham tapi saya  tahu kamu gembira kerana dapat mengembirakan kawan.  Dia gembira kerana ada juga yang prihatin dengan kehidupannya diperantauan. Jauh daripada kampung halaman.

Seluar guess yang kamu tempah sebulan sebelum kamu pergi masih saya simpan sehingga kini. Seluar guess itu terlipat kemas seperti kemasnya ingatan saya tentang kamu.

IWAN3

T Shirt “ Antioni”  yang kamu pakai pada hari-hari terakhir kamu di hospital  adalah pasangan seluar guess yang kamu anggap sedondon untuk dipakai .   Indahnya kenangan itu Iwan. Kadang saya rasa nak tersenyum dengan gaya kamu memadankan baju. T Shirt itu masih tidak berbasuh walaupun telah 18 tahun berlalu. Semalam, saya keluarkan baju dan seluar itu dari lipatan.  Saya terbayang kamu ketika kamu memakainya 18 tahun lalu.  Tentu sekali, kamu kini semakin tinggi.  Betapa saya berharap, saya dapat menempah sepasang baju dan seluar lagi untuk kamu.

IWAN2

 Ketika saya mengiringi kamu ke persemadian . Allah lebih mengetahui  apa yang saya fikirkan, apa yang sedang saya tanggung. Antara rasa  bersyukur kerana akhirnya, kamu telah berada ditempat yang kekal  dan pada masa yang sama, sedih kerana sebentar lagi,  saya dan semua orang akan tinggalkan kamu berseorangan. Tak mengapalah nak. Kasih sayang  dan  doa saya  akan sentiasa bersama kamu,  setiap saat dan ketika. AL-FATIHAH.

Tiba masa untuk saya tinggalkan kamu. Tangan kanan saya berpaut pada batu nisan kamu seketika. Saya bacakan Al-fatihah sekali lagi.”Saya  pergi dulu nak”.  Saya belai kamu dengan penuh kasih sayang.  Bersemadilah dengan tenang,  Kita hanya berpisah jasad. Ingatan saya, kasih sayang saya sentiasa bersama Allah untuk kamu.

Dirumah, saya melangkah longlai. Menuju ke satu penjuru dimana sekujur tubuh kamu pernah  terbaring kaku. Saya duduk bersimpuh, saya tatap lantai dimana kamu terbaring, saya baca apa sahaja doa yang saya tahu. Saya mohon pada Allah agar  perjalanan  kamu dipermudahkan.  Saya doa supaya kamu bertemu dayang-dayang  cantik di syurga firdausmu. Saya berdoa kamu dihidangkan dengan makanan  sedap yang tidak pernah kamu nikmati sepanjang hayat kamu. Tidur  lena di atas katil empuk bertingkat yang tidak pernah kita bayangkan. Saya doakan agar kamu tidak lagi merasai kesengsaraan hidup.

Seminggu selepas pemergian kamu, saya dan adik-adik  kembali ke bandar. Bandar dimana  kami harus teruskan hidup tanpa kamu. Saya bawa nenek bersama sebab saya memerlukan kekuatan untuk memasuki rumah yang kamu tinggalkan. Dirumah, saya melihat  barang peribadi kamu dimana-mana, Buku, baju, kasut, racket badminton, semuanya meruntun jiwa saya.

IWAN4

  Arwah nenek kata:” sabarlah!!relakan dia pergi!  Iya nak. Saya redha  kamu pergi mendahului saya. Saya redha. Allah  maha besar dan lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

Setelah 18 tahun berlalu,  saya  masih seperti dulu Iwan. Bekerja keras seperti biasa . Penat lelah tidak pernah saya  endahkan. Saya berusaha kerana masih terlalu banyak perkara yang perlu saya selesaikan sebelum tiba masanya untuk saya datang menyusul.

GK8

Saya sentiasa berusaha untuk menjadi seperti apa yang kamu inginkan. Menjadi ibu yang cemerlang, tidak patah semangat, tidak berputus asa dan  sentiasa menjadi diri sendiri . Dulu, kamu kata” kalau saya sudah kerja, umi tidak perlu  berkerja lagi. Umi duduk dirumah  kerana saya akan sediakan segala-galanya untuk umi.”

Kata-kata kamu buat saya sayu tetapi saya hargai kata-kata kamu dengan senyum. Jauh dilubuk hati, jawapan saya telah ada untuk kamu. Saya tidak akan menyusahkan kamu. Sampai masanya kamu akan punyai kehidupan sendiri,  akan punya tanggungjawab sendiri. Binalah kehidupan kamu dan bahagiakanlah keluarga kamu. Itu adalah hadiah terbaik bagi saya sebagai seorang ibu.

Adik bongsu kamu, Ira  telahpun berumahtangga. Adik bongsu  yang dulunya kamu selalu ingatkan jangan  ‘kencing malam’ supaya solat saya lebih mudah. Adik yang sering kamu perhati  dan ingatkan supaya jangan main sorok-sorok  dibelakang rumah orang-orang kaya, kerana kamu kata ” nanti kamu dikata cuba mencuri harta kekayaan mereka”. Dia dizaman kecilnya sangat degilkan.

Setelah sekian tahun berlalu, akhirnya dia memilih pasangan hidup. Kamu tentu gembira mendengar perkabaran ini kan. Saya juga gembira  dan bersyukur kerana  kini adik kamu punya pembimbing . Saya sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka. Saya sentiasa mendoakan agar pasangan hidupnya mempunyai kekuatan yang  luarbiasa untuk membimbing dia menjadi seorang isteri yang solehah.

GK22

Dulunya,  saya mengimpikan kamu membesar, punya kerjaya dan akhirnya mendirikan rumahtangga. Saya ingin melihat  kamu berkeluarga, punya anak dan memimpin anak sendiri seperti mana kamu sering mengambil berat tentang adik-adik kamu  tetapi  kita hanya merancang Iwan. Allah menentukan segala-galanya.

Hari ketiga selepas  pemergian kamu,  kamu  hadir menjenguk saya dalam tidur. Kamu datang  seperti mengesat airmata saya. Seolah-olah kamu berkata”  jangan menangis umi, jangan bersedih”. Kata-kata dan kehadiran kamu sangat singkat. Saya tersentak dan terjaga daripada tidur. Saya lihat sekeliling. Betapa saya berharap kamu  sedang berada didepan mata. Nyatanya, hanya saya, tidak ada sesiapapun. Mungkinkah kamu datang menitipkan sesuatu sebelum meneruskan perjalanan. Saya rindukan kamu nak.

Lapan tahun kemudian kamu hadir sekali lagi. Kita seperti  berada dalam satu suasana  yang redup.  Sunyi dan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa membangkitkan keindahan panorama sekeliling.  Kali ini, saya  hanya memerhati kamu dari jauh. Badan kamu masih seperti dulu. Kamu berlari anak menaiki bukit  dan tidak lagi memandang kearah saya. Pada masa itu perasaan saya lebih tenang, saya melambaikan tangan tetapi kamu teruskan perjalanan. Syukur Alhamdulillah, diatas rahmat Allah. Sesungguhnya kasih sayang saya akan terus kekal mengingati Allah untuk kamu. Satu hari, kita akan bertemu semula. Saya akan terus berdoa agar kamu  di tempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Amin.

AL-FATIHAH..