Hello September!!

Selamat tinggal rehatku yang panjang. Bulan Jun, Julai dan Ogos akhirnya berlalu,  menitipkan episod hidup yang tidak sempat diceritakan.

11154_513115912104413_1421561123_n

Paparan terakhir saya adalah Umrah Pertamaku. Dipaparkan sebulan selepas saya kembali daripada umrah pada 16hb Mei 2013. Pengisian cerita yang agak padat mengikut aktiviti sebenar saya sempena ziarah ke baitullah. Wahh!!!agak lama juga rupanya. Selepas paparan terakhir, sayapun tidur nyenyak dalam tempoh  yang agak panjang.nicubunu_Emoticons_Sleeping_face Keadaan ini mengundang soalan beberapa kenalan” ehhh,  kenapa tiba-tiba senyap? ‘Takkan tak ada cerita baru? Hehehe..’ bukan tidak ada tapi saya masih mencari masa yang sesuai untuk menulis”  Soalan itu membuat saya bersalah dalam diam. Rupanya ada yang menanti cerita-cerita terbaru saya. Iyalah..ada yang minat dengan cerita kucing, ada yang minat tentang keusahawanan, ada juga yang minat  kepada cerita-cerita yang  menyentuh kehidupan peribadi mereka secara tidak langsung.

1185720_505930402822192_1138343709_n

Kemudian saya  mula tanya diri sendiri.  Kenapa saya alfa sebegitu lama?. Bukan setakat tidak menulis tapi saya sendiri tidak menjenguk blog saya dalam tempoh yang agak lama. Suasana senyap begini, seolah-olah  mengambarkan kehidupan saya  agak kosong. Seperti tidak ada sebarang perkara menarik  yang boleh saya kongsikan? sedangkan saya sendiri tahu, berkomunikasi dengan anda adalah satu ketenangan. Bila tidak ‘update blog’ , bukankah itu satu kerugian?? Memang satu kerugian sebenarnya tetapi  sejak akhir-akhir ini saya  ketiadaan masa yang sesuai untuk menulis.

934688_409624825810716_1406632189_n

Banyak perkara baru yang perlu saya berikan perhatian disamping  rutin harian saya sebagai ibu, isteri, ketua kepada sebuah perusahaan  kecil,  ibu kepada belasan ekor kucing peliharaan, dan akhir sekali tanggungjawab peribadi untuk  memajukan diri setapak kehadapan,  setiap hari. Saya suka mempelajari perkara baru. Orang kata,  demi untuk pembangunan hidup yang berterusan selagi Allah izinkan ianya berlaku. 1097284_412206412219224_412811127_o Pada masa yang sama, saya juga perlukan masa yang agak banyak untuk aktiviti kecergasan. Bersenam dan bersembang  dengan ahli komuniti innerG  selepas sesi senam. Bersenam juga adalah sebahagian daripada rutin yang tidak boleh saya ketepikan kerana faktor umur. Saya bersenam hampir setiap hari. YOGA, Body Toning dan Zumba bersama beberapa orang Fitness Instructor. Ira, Deza, Wan, Patma dan Yan silih berganti. Bagi saya, bersenam adalah cara hidup, pemakanan yang sehat adalah cara hidup. Ianya diniagakan tetapi  bukan untuk mengaut keuntungan dan kekayaan semata-mata. Sebaliknya, roh yang dibawa oleh innerG adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial untuk mengajak masyarakat  kepada amalan gaya hidup  sehat.Saya amat menghargai pemahaman setiap ahli komuniti yang menyertai InnerG setiap bulan.553936_547270005323249_1792440149_n

Sebahagian daripada aktiviti fitness

971316_545825525467697_1928868583_n

Semasa muda, tidak senam sebulan juga masih boleh diterima tetapi diperingkat sekarang, berhenti bersenam adalah tindakan yang kurang bijak. Mungkin cardio agak berat untuk dilakukan setiap hari tetapi YOGA ‘flexibility’ dan ‘Body Toning untuk ‘strength’ sementara ZUMBA adalah cardio exercise yang baik untuk kesihatan jantung, hati dan paru paru.  Aktiviti ini sudah pasti mengambil sedikit masa tetapi seperti saya kata tadi, senaman adalah cara hidup dan ianya tidak harus diketepikan dalam jadual harian kita.  Jadi, kepada rakan-rakan saya, mari kita sama-sama bersenam . Senaman bukan setakat untuk mereka yang masih muda ya..

alone

Kalau begitu, bila pula waktunya untuk  saya menulis? Saya hanya berkesempatan pada waktu malam dimana tidak lagi kedengaran bunyi bising . TV senyap, anak-anak jiran senyap, kontraktor senyap, injin  kenderaan senyap. Yang kedengaran hanyalah putaran kipas saya yang dah agak usang. Suasana sedemikian akan membantu saya berkongsi cerita dengan berkesan.  Malang sekali kerana saya adalah  spesis yang mudah terganggu, bukan sahaja bunyi bising tetapi  sebarang aktiviti yang memerlukan saya mengerah otak untuk berfikir akan menjejaskan penumpuan saya. Sejujurnya, itulah halangan paling besar untuk saya sejak 3 bulan lepas. Inilah buku yang saya baca berulang kali. Buku yang dibaca oleh Tuan Penjejakx. Tuan Penjejkx ini adalah guru  TA saya  dalam bidang CPO.

20130831_092201

Saya mula belajar tentang ilmu pelaburan saham sejak awal Jun. Terlibat dalam bidang ini memerlukan ilmu. Jika tidak, risiko hilang pelaburan amat besar. ‘Fundamental, Technical Analysis’ dan juga kawalan emosi sendiri perlu kuat. Terlalu banyak sepak terajang yang perlu dipelajari, perlu difahami dan saya perlu berkursus dan berkursus. Sampai bila?? entahlah! saya akan berkursus selagi kesihatan mengizinkan. Pembelajaran adalah sepajang hayat dan cap mohor itu sudahpun terpahat pada dahi saya yang luas.{ Luaslah sangattt}.

1009839_414653381974527_440137456_n

Salah satu ‘effort’ saya untuk minimakan kerugian adalah untuk dapatkan sebanyak tips dan maklumat. Saya mencari kawan dan kenalan seramai mungkin. Saya  mengharapkan ada orang yang ringan hati untuk berkongsi dan alhamdulillah syukur, masih ramai yang tidak kedekut ilmu, sekalipun ada  juga seorang dua  yang tidak respon langsung. Tidak mengapa! Mungkin kesibukan membuat anda ketiadaan masa untuk respon. Saya doakan anda  diluar sana akan terus kaya dan berjaya dalam bidang pelaburan saham.

1157720_408966362543229_344192594_n

Ketika mana saya  mencari-cari ruang untuk menulis, kawan saya kata ‘tulis sajalah, asalkan ada bahan bacaan, biarpun cerita pendek’. Bukan tak boleh tetapi saya menulis bukan setakat menceritakan perkara-perkara rutin yang berlaku dalam hidup saya. Sebaliknya saya mengharapkan supaya penulisan memberi saya satu kepuasan. Kepuasan itu hanya ujud apabila saya telah berpuashati dengan cara mana sesuatu cerita itu saya hasilkan. Penulisan  memberi saya ruang untuk mengkomunikasikan diri saya yang sebenar kepada dunia luar. Penulisan memberi saya ruang untuk menyatakan prinsip hidup, sikap, perasaan dan segala macam keterujaan saya tentang kehidupan. Dengan menulis, saya rasa amat dekat dengan masyarakat pembaca sekalipun mungkin anda tidak memberi respon balas tetapi hati kecil saya percaya bahawa anda  sentiasa memberi ruang masa yang santai untuk membaca.1146705_505923536156212_68312870_n

Tiga bulan terakhir adalah bulan yang agak mencabar bagi saya. Bulan yang membentuk pelbagai emosi dan perasaan. Sedih kerana kehilangan,  gembira kerana ada perkara baik yang memberi kepuasan dan teruja kerana ujud perkara baru  yang membentuk semangat untuk terus berusaha. Apa sekalipun emosi yang ujud, ianya berjaya membentuk diri saya sebagai manusia yang lebih bersyukur. Semua itu adalah putaran hidup yang biasa-biasa bagi  manusia biasa:-)

Anda pula bagaimana? Cuba toleh sejenak dan hayati bait-bait kehidupan yang telah anda tinggalkan, memori apa yang berbekas dalam kotak minda anda?  perasaan apa yang meresapi jiwa, mendasari naluri anda ? Adakah perasaan sedih? gembira? penuh harapan? marah? keciwa? sesal? atau perasaan dendam yang tidak ingin anda akhiri? Tidak kira apapun yang anda rasai, semua itu adalah pilihan yang telah anda buat.

971794_414742468632285_1328596005_n

Ahhh… sebaiknya jangan terlalu banyak mengeluh. Keluhan itu buat  Allah murka..Semua itu tercipta  dalam diri kerana kita benarkan ianya tercipta. Perkara positif akan menjadikan kita positif kepada setiap masalah sementara sikap yang negatif akan mengheret kita terus ke kancah permasalahan  Oppss..ini bukan menasihati. Sekadar apa yang kadang terlintas dalam kotak minda saya,  seolah-olah  mengingatkan  saya ‘cara kamu berfikir itu salah’ .1005478_505934159488483_771515737_n

Betapa bertuahnya jika ayat keramat itu sempat kita fikirkan sebelum ianya memusnahkan seketul hati yang indah. Minda dan hati yang kotor akan menyebabkan ujud kecenderungan peribadi untuk menyalahkan semua orang diatas kesedihan atau kegagalan yang kita lalui. Kita cenderung mengandaikan apa sahaja yang kita miliki itu adalah milik mutlak kita.  Sedangkan segala-galanya adalah milik Allah.

1233415_412561395517059_812748533_n

Tentu sekali kepelbagaian perasaan itu adalah biasa tetapi membiarkan setiap perasaan itu menguasai diri tanpa batasan adalah diluar kebiasaan dan sesuatu yang keluar daripada kebiasaan akan menjadi samada membina  atau meruntuhkan  nilai hidup.Kehilangan adalah sebuah perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata semata-mata . Kehilangan itu mengundang rasa sedih dan kesedihan sudah tentu mengundang airmata.

cry

Orang kata airmata itu adalah satu simbol kelemahan. Benar begitu??  Kalau sensitif, saya akan angguk tanda setuju sebab saya sendiri adalah  seorang yang begitu mudah menangis tetapi saya tidak fikir saya seorang yang  lemah. Saya mudah terkesan oleh keadaan yang berkaitan dengan unsur-unsur yang hidup. Saya sedih melihat orang menangis. Saya begitu emosi melihat kepayahan, kesakitan atau apa sahaja yang menganggu kesejahteraan hidup. Saya sedih melihat kucing peliharaan saya sakit.Apa lagi bila mana mereka tidak mampu bertahan dan menemui ajal dalam waktu yang sangat singkat. Itulah yang berlaku kepada  anak kucing kesayangan saya. Inilah dia Black and White Kiram. Mereka berdua telah tiada.

20130501_095936 Black Kiram.20130501_095846

White Kiram

Kedua-duanya adalah anak kucing Kacukan Persian + Rag Doll {Alaska} dan Blackie.  Dilahirkan melalui pembedahan kerana saiz mereka yang agak besar. Kini kedua-duanya telah tiada. Mereka sakit dalam waktu yang sangat singkat bersama dengan 5 ekor dari spesis yang lain.

DSCN3071

Inilah pusara mereka.20130501_095738

Kucing peliharaan buat  hati saya girang. Adakalanya buat saya rasa lucu dan ketawa terbahak-bahak. Mereka  memberi saya sebab untuk  bangun diawal pagi. Mereka beri saya sebab untuk melakukan perkara kebaikan terhadap binatang. Perasaan yang ujud itu adalah sebahagian daripada nikmat hidup kurniaan Allah. Kini,  masih ada belasan ekor kucing  yang tinggal.

20130218_155935 Saya akan menempatkan mereka dalam pondok khas ini. binaan kayu tentu lebih selesa untuk mereka. Insha allah, akan siap dalam beberapa hari lagi.20130831_123250

Cerita saya berakhir disini. Tidak ada yang berat. Segalanya merangkumi kehidupan  rutin yang mungkin dialami oleh semua orang,  termasuk anda. Mungkin ada yang rasa lucu dengan keterujaan saya terhadap binatang tetapi itulah saya. Saya adalah seorang yang sarat dengan kasih sayang:-):-):-) Sampai jumpa lagi. Esok pagi nak masuk market. Market merudum ni..