Kemiskinan itu pedih dan menyakitkan. Kemiskinan itu mala petaka. Kemiskinan itu untuk dihapuskan, bukan untuk diwarisi. Menghapuskan kemiskinan perlu menjadi perjuangan setiap insan. Sayang sekali, kemiskinan terus dibentuk oleh budaya masyarakat, malah menganggap kemiskinan itu sebagai proses turun temurun yang tidak mungkin akan berubah. Akhirnya, setelah sekian tahun berlalu kita masih bertapak dipihak yang sentiasa menadah tangan dari satu generasi ke satu generasi. Kita akhirnya mewariskan kemiskinan . Anda yang kami sayangi..Mati dalam kemiskinan adalah satu kesilapan.
Kita dikatakan miskin bila kita tidak mempunyai tempat berlindung, kita miskin bila kita tidak makan cukup setiap hari, kita miskin jika kita sakit dan tidak upaya untuk mendapatkan rawatan, kita dikatakan miskin jika kita tidak punya pekerjaan dan kita juga miskin dalam keadaan kita langsung tidak punya kebahagiaan hidup. Kita miskin kerana kita dibelenggu oleh kitaran pemikiran yang biasa setiap hari. Kita menjadi pelengkap kepada satu kitaran hidup yang sama, hampir setiap hari.
Sungguh! kemiskinan itu juga membawa padah, bukan hanya kepada kita sebagai individu miskin tetapi juga membawa padah kepada kelompok masyarakat dimana kita berpijak. Begitu juga padahnya kepada sebuah kerajaan. Sistem politik yang adil, telus dan tersusun mampu mengagihkan kekayaan ekonomi melalui polisi yang sempurna.
Dikatakan bahawa kerajaan yang bertanggungjawab adalah kerajaan yang mampu membentuk polisi untuk mengagih kekayaan secara sama rata. Namun kemiskinan juga akan kekal jika kekayaan dikuasai oleh segelintir kelompok elit yang menguasai pemerintah. Kerana itu, pemerintah hendaklah pemerintah yang adil, bukan semata-mata menjaga kepentingan masyarakat yang telah sedia mewah tetapi turut menjaga kepentingan masyarakat yang jauh ketinggalan. Menjaga keadilan itu adalah satu amanah. Menunaikan amanah itu adalah wajib.
Kemiskinan harta sering dikaitkan dengan kemiskinan ilmu. Ada orang berkata, tanpa wang ringgit bagaimana harus kita mempunyai ilmu yang tinggi? Iya..menuntut ilmu itu memerlukan wang. Tanpa wang, bagaimana mungkin kita memenuhi keperluan persekolahan. Buku tulis, pen, kasut, beg, bahan ko-kurikulum sekolah, tambang dan sebagainya.
Bezanya, zaman persekolahan saya tidak menjadikan kenderaan itu satu kemudahan yang mesti ada. Yang penting kaki masih mampu melangkah. Tiada beg juga bukan satu masalah besar kerana buku yang dibawa masih boleh dibimbit kemas dengan ikatan seutas tali rafia, sekalipun ada ketikanya telinga sakit dengan teguran sinis daripada cikgu yang kurang memahami” ingat kau ni pelajar universiti ke tak bawa beg” but no problem, ramai orang yang boleh bersikap ‘judgemental’. Hak mereka untuk melayan pandangan mereka tetapi hak kita untuk merasa terganggu atau tidak. Pilihan berada ditangan kita sepenuhnya.
Namun jika kita ketiadaan buku dan pen?? takkan mencatat nota pembelajaran diatas paha atau tapak tangan pula!! Namun saya amat bersyukur kerana di zaman saya, kawan-kawan saya baik-baik belaka. Kawan saya Yani Dambul, kebaikan anda saya kenang sehingga ke hari ini walau zaman telah memisahkan kita. Terimakasih sekali lagi, walau kata-kata ini telah berulangkali saya ungkapkan. Mudah-mudahan kehidupan Yani dan keluarga sentiasa berada dalam lindungan Allah. Hanya Allah yang boleh membalas segala kebaikan itu.
Kadang kita dengar orang mengungkapkan, pendidikan yang rendah bukannya petanda kepada kemunduran hidup. Tentu sekali ramai yang telah membuktikan kebenaran kata-kata ini. Kepada yang kurang berpendidikan, pencarian ilmu tidak pernah berhenti, mari bersama tanamkan keyakinan bahawa kecemerlangan hidup boleh dicapai dalam pelbagai bentuk . Asalkan kita biarkan diri kita berfikir dan bertindak positif tatkala kita berhadapan dengan pelbagai cabaran hidup bersilih berganti . Bumi kita bertuah untuk melangsaikan segala kekurangan itu.
Mengharungi hidup dalam keadaan segala-galanya sukar sudah tentu meletihkan. Pada masa kemiskinan itulah, hampir mustahil untuk kita memperoleh bantuan. Malah kawan yang rapat sekalipun akan pergi meninggalkan kita atas dasar mengelakkan diri daripada terpalit oleh pelbagai masalah yang sedang melanda tetapi semua itu ‘no problem’ Bukankah kita diturunkan diatas mukabumi sebagai khalifah, menjadi pemimpin dalam memperjuangkan hidup sebagai makhluk yang serba sempurna. Pada ketika itulah kita memperoleh peluang terbaik untuk mencabar potensi diri yang selama ini tersembunyi jauh didasar keselesaan. Jadi adakah alasan untuk kita mengeluh menghadapi cabaran untuk mengubah kehidupan?? Bukankah Allah menjadikan sesuatu itu untuk membolehkan kita melihat sesuatu yang lebih baik?
Bilamana kita tidak mampu menjadi pemimpin kepada oranglain, memadai lah untuk menjadi pemimpin kepada diri sendiri dan itulah perjuangan yang harus kita lakukan setiap hari . Keperluan untuk berfikir diluar kotak daripada kebiasaan amat kritikal kerana masa berlalu, umur semakin singkat dan kita mungkin tidak mempunyai masa yang banyak.
Ada orang kata biarlah anak-anak mencari harta sendiri. Kita beri mereka pendidikan dan pendidikan yang mereka peroleh akan membolehkan mereka mencari harta dengan sendirinya. Hidup yang cemerlang tidak semestinya mampu dibina dengan hanya segulung ijazah! Saya juga tidak bermaksudkan untuk mati dalam keadaan harta anak bertimbun-timbun. Saya hanya ingin meninggalkan nilai terbaik yang boleh dicontohi oleh anak-anak.
Hidup ini keras dan mencabar, hanya orang yang menilai apa itu kehidupan sahaja yang benar-benar faham dan kebiasaannya mereka yang faham itu menilai setiap waktu yang datang itu dengan penuh teliti, menghitung masa yang datang dengan penuh perkiraan. Memahami kehidupan itu juga akan menjadikan kita peka dan amat memahami masalah oranglain. Dalam keadaan sedemikian kita akan senantiasa memberi peluang kepada diri sendiri untuk memahami kenapa setiap kejadian itu hadir. Kenapa semua itu berlaku, kenapa, kenapa dan kenapa yang tidak akan pernah putus. Hanya Allah sahaja yang mengetahui segala-galanya kerana yang miskin itu sendiri kekadang tidak benar-benar faham kenapa mereka terus miskin. Apa lagi jika kita ini hanya penonton kepada kemiskinan oranglain. Yang paling penting adalah diri kita, apa yang telah kita sumbangkan kepada diri dan masyarakat untuk membolehkan kita dan bangsa kita keluar dari kepompong kemiskinan.
Semua orang ingin lepas daripada kemiskinan kerana kemiskinan itu derita. Yang miskin juga tidak mahu dikatakan miskin terus tentunya. Mereka juga ada cita-cita dalam hidup, mereka juga ada keinginan, mereka ada impian , mereka juga ada harga diri tetapi kerana keadaan telah memerangkap mereka. Amalan biasa telah membina identiti dan cara pemikiran mereka. Malah mereka percaya, kemiskinan itu tidak mungkin boleh diubah kerana mereka memang telah dilahirka miskin. Lebih malang lagi jika ada yang berpendapat, berkerja keras itu sia-sia, mempunyai impian besar itu juga sia-sia sebab harta yang banyak tidak akan dibawa mati.
Duhai anda yang kami sayangi. Tidakkah anda sedar, bahawa mereka yang berjaya pada hari ini adalah adalah orang-orang susah yang telah menyeberangi lautan dan membanting tulang empat kerat untuk mengubah kehidupan? Mereka ini dulunya merantau, mereka ini dulunya tanpa apa-apa, mereka datang sebagai pekerja ladang, pekerja lombong tetapi lihatlah sekeliling. Dimana mereka? tidakkah anda sedar bahawa terlalu banyak perkara yang perlu kita lakukan? Jangan mengeluh sepanjang masa. Mengharap setiap perkara untuk dibantu.
Marilah bersama kita hayati. Berbaloi kah bantuan dan pemberian itu untuk kita membina hidup yang lebih baik? Hari ini kita meminta dan esok meminta lagi? Begitu rendahkah kita letakkan maruah bangsa kita? Pernahkah kita fikirkan perasaan anak-anak kita yang menyaksikan kita menunggu bantuan sepanjang hayat? Bernilaikah kita untuk dicontohi oleh anak-anak kita? dan berhasilkah mereka membina hidup masa depan dengan mengambil contoh daripada apa yang anda lakukan setiap hari?
Anda yang kami sayangi, betapa deritanya hidup dalam serba kepayahan, betapa perihnya untuk kita menyaksikan pengorbanan seorang anak yang terpaksa berkerja membanting tulang, walau dengan pendapatan sekupang dua demi untuk mengurangkan beban kita yang tak tertanggung? betapa sedihnya bila terpaksa mengorbankan harga diri demi untuk membolehkan perut yang lapar dialas dengan sesuap nasi? dan akhir sekali, sanggupkah kita membiarkan perkara ini berlaku berterusan? zaman berzaman? atau adakah kita bersedia mengubah keadaan ini?
Anda yang kami sayangi, kita adalah sesempurna makhluk yang Allah jadikan. Marilah kita bersama memetik bunga, bunga kehidupan dik, sebab Allah tidak akan mengubah nasib kita jika kita sendiri tidak ingin mengubahnya!!!