Kiulu White Water Rafting

Berkayak! Bukan aktiviti yang tersenarai dalam dalam kamus hidup saya. Saya takut arus deras. Saya takut dengan air kolam. Saya takut mandi laut. Bukan sahaja saya tetapi anak-anak  juga saya larang daripada mandi-manda  sungai, mandi laut atau berkelah di mana-mana  air terjun. Semuanya kerana sejarah  lampau. 582251_411181348920042_1679750394_nSaya lemas ketika mandi kolam semasa kecil. Bukan kolam renang, bukan sungai tetapi kolam ikan yang berlumpur. Peristiwa itu bersarang diminda saya sehingga ke hari ini. Saya fobia tetapi entah kenapa saya akhirnya mencatat ini sebagai sebahagian daripada coretan hidup saya. Mungkin juga kerana  keunikan perhubungan yang terjalin erat  di dalam Kelab Nutrisi yang saya sertai meranapkan ketakutan  itu.  179131_411180428920134_922158066_nKelab Nutrisi memang unik sebab di Kelab Nutrisi semua orang bercakap tentang perkara-perkara yang positif. Tentang kesihatan, tentang masa depan, tentang pemakanan, tentang riadah, tentang kebahagian, tentang keakraban dan semua perkara yang menjurus kepada perkara terbaik dalam kehidupan. Sekalipun kebanyakan aktivitinya melibatkan sedikit bayaran tetapi timbal balas yang diperolehi oleh setiap peserta adalah sesuatu yang tidak dapat dinilai dengan wang.  Apa lagi jika pada masa itu kita sedang berusaha  untuk sembuh daripada  sakit. 522476_411184602253050_2091024329_n Suami saya pada mulanya turut melarang saya mengikuti aktiviti ini  kerana dia tahu sangat tentang  masalah kesihatan saya. Dia risau hentakan  kuat  yang mungkin berlaku akan menyebabkan tekanan pada tulang belakang dan mengakibatkan  masalah saraf  kambuh semula. Kerisauan itu juga  sebenarnya turut bersarang di kepala saya  tetapi  kawan saya kata ianya selamat dan tidak ada yang perlu dirisaukan . “Jaminan ” itu saya fikir wajar kerana AA sebenarnya bertugas di kawasan persekitaran dan saya yakin apa yang beliau katakan adalah berdasarkan kepada pengalaman.

229801_411178955586948_601130868_n(1)

Perjalanan daripada tempat tinggal saya, Lorong Ujana Kingfisher  ke destinasi mengambil masa lebih kurang sejam untuk sampai. Kami sampai  lebih kurang jam 9pagi . Sebelum bermula kami telah dibekalkan dengan jaket dan topi keselamatan. Semua peserta diwajibkan untuk membeli insuran kemalangan. Kami  diberi taklimat ringkas tentang langkah-langkah keselamatan. Antaranya teknik  mengelak daripada tercampak keluar dalam keadaan bot terlanggar dengan batu akibat air yang deras.  Saya mendengar dengan tekun, cuba bayangkan apa tindakan saya jika saya ditakdirkan  tercampak keluar. Saya mesti sentiasa beringat. Jangan sampai saya terkeluar dannn..ishhhh. Lebih baik fikirkan perkara yang baik-baik sahaja.

Saya memilih tempat dibahagian hadapan. Kononnya memilih tempat paling  selamat. Seramai 8 orang dalam satu bot. Saya,  Zalla, Martini, Ian, Ira, Bobby , Adi dan ‘rafter”. Tiga daripada anak bujang saya ada bersama. Bermakna , kalau ada apa-apa berlaku sekalipun anak bujang ini  pasti akan lakukan sesuatu untuk menyelamatkan saya. Dalam diam kepala saya membuat perkiraan. Saya teruja dengan alam semulajadi.  Sangat indah dan memberi saya ketenangan yang tak dapat digambarkan. Air yang jernih, sejuk , hutan yang tidak terusik, bunyi burung berkicau, monyet  bergurau bersantai , awan  biru tersenyum.  Timbul perasaan gembira, sayu, bercampur aduk. Gembira kerana Allah berikan saya sehari lagi untuk menikmati hamparan bumi yang sebegini indah. Sayu kerana kerinduan membidik zaman lampau yang telah berlalu, keakraban masyarkat dikampung halaman yang tak pernah di telan zaman, zaman kanak-kanak yang serba bebas tetapi berbatas.  kenangan bersama arwah mak yang telah pergi. kenakalan adik beradik  yang telah ditelan detik waktu dan  takkan  mungkin akan berulang dan rindu dengan setiap  kepayahan yang telah menjadikan saya seperti mana diri saya kini.  Inilah  persekitaran alam dimana saya dibesarkan. Sungai, hutan, bunyi burung dan segalanya, semula jadi dan amat nostalgik untuk dikenang.

167477_411184715586372_917554903_n
Menunggu dengan sabar

Kami difahamkan perjalanan akan mengambil masa selama sejam untuk sampai ke stesen terakhir dimana kami dijangka akan dijamu dengan makan tengahari. Sepanjang perjalanan, sempat juga bermandi-manda.  Cabaran kami teruskan. Semuanya berjalan dengan lancar dan sesekali kami terpaksa berkerja keras  untuk mendayung demi meringankan bebanan ‘rafter’ untuk melawan arus. Dayungan mesti serentak. Siap dengan kiraan, satu, dua, tiga. Hahaha…Aktiviti yang menyeronokkan. Diperingkat awal, tidak ada perkara yang terlalu mencabar. Sesekali  bot terpusing kerana berlanggar dengan batu dan arus deras  tetapi tidak mengakibatkan bot terbalik seperti  bot kumpulan yang satu lagi. Bila bot mereka terbalik, kami bersorak tanda kemenangan  tetapi langit tidak selalu cerah orang bilang.  Sampai satu tempat ,  arus yang agak deras menyebabkan bot  kami berpusing dan menghentak batu dibahu sungai. Keadaan ini menyebabkan saya terpelanting keluar dan tenggelam seketika. Nasib baik kepala tidak terhentak pada batu. Terminum air agak banyak sehinggakan rasa sakit menyelinap sampai ke hidung dan anak tekak.   Bila saya timbul, saya terdengar anak saya menjerit” umi!!!nah!!!dia hulurkan pendayung untuk membolehkan saya naik. Ingatkan mudah, rupanya untuk naik ke bot semula bukan senang. Nasib baik ada penerangan awal daripada ‘rafter’ mereka tahu apa yang patut dilakukan untuk  membolehkan saya naik semula keatas bot. Biar terpelanting, keseronokan yang sungguh luarbiasa tetap terasa.

556447_411196355585208_1549081320_n
Mesi bergambar dahulu selepas menamatkan misi

Lebih kurang jam 11 pagi kami sampai di destinasi akhir. Selepas bersalin pakaian,  kami ke dewan khas  yang disediakan oleh pengusaha taman untuk  makan tengahari . Sempat juga saya bermain gong sekejap. Bertahun juga tidak menggunakan peralatan musik tradisional  ini. Tak sangka,  masih boleh mengetuk beberapa jenis gong untuk diperdengarkan . Aktiviti hari ini amat bermakna untuk saya.  Wah!! kalau bukan kerana Kelab Nutrisi, sudah tentu  tidak dapat menikmati aktiviti seumpama ini. Syukur..